Friday, October 16, 2009

JIMAT TENAGA: PERANAN AHLI PROFESIONAL

Ahli-ahli profesional seperti akitek dan jurutera boleh mengawal pembaziran tenaga melalui rekabentuk bangunan yang lebih berkesan serta keupayaan menggunakan sumber semula jadi (pencahayaan dan pengudaraan semulajadi) secara berkesan.

Pemilik bangunan dan pemaju harus tidak menumpukan keuntungan semata-mata dalam projek pembangunannya, mereka harus bekerjasama dengan pihak perunding (terutamanya arkitek) dalam membuat penentuan lokasi dan rekabentuk bangunan serta memilih bahan bangunan yang boleh menjimatkan tenaga.

Banyak kajian yang dijalankan oleh penyelidik di Universiti mendapati banyak bangunan-bangunan kediaman dan perdagangan di Malaysia hari ini tidak menepati ciri-ciri tempatan dan tidak berkecekapan tenaga iaitu tidak menjimatkan tenaga.

Rekabentuk bangunan di Malaysia seharusnya berasas dan berteraskan iklim tropika di Malaysia yang mempunyai ciri-ciri tertentu yang perlu difahami oleh para perekabentuk atau arkitek. Iklim di Malaysia yang bersifat panas lembab, mempunyai hujan yang lebat serta angin yang sentiasa bertiup kencang mempunyai potensi semula jadi yang boleh diambil kira oleh arkitek, dan sebaliknya ancaman iklim yang perlu di atasi melalui rekabentuk bangunan yang berdaya tahan.

Iklim di Malaysia mempunyai kelembapan relatif lebih 80% dan suhu yang panas sepanjang tahun lebih 30 darjah C merupakan keaaan tahap persekitaran yang kurang selesa. Pada umumnya kita akan merasa selesa di dalam ruang atau persekitaran yang bersuhu udara antara 25.5 – 28 darjah C dengan kelembapan relatif sekitar 70%.

Perbedaan persekitaran luaran dan keperluan dalaman ini menjadi cabaran kepada para arkitek dalam usaha untuk merekabentuk bangunan yang baik dan selesa. Arkitek yang pada lazimnya merekabentuk bangunan harus berusaha menjadikan suhu dalaman bangunan selesa untuk pengguna. Cara yang lazim pada hari ini ialah dengan pemasangan alat pendingin hawa. Ia mudah untuk menurunkan suhu, terutama dimusim panas, namun ianya melibatkan pembelian tenaga elektrik yang banyak.

Arkitek

Rekabentuk rumah melayu pada umumnya adalah contoh yang agak baik di dalam mewujudkan persekitaran semulajadi yang selesa di dalam rumah. Bahan binaan tempatan, rekabentuk bumbung yang curam, bukaan tingkap yang banyak, ruang-ruang yang terbuka, lantai yang ditinggikan dan dikelilingi tumbuh-tumbuhan mewujudkan suasana yang selesa. Pendekatan yang serupa harus dijadikan asas dalam rekabentuk walaupun perlu kepada beberapa penyesuaian di dalam menghadapi berbagai kekangan untuk memenuhi keperluan pembangunan dan cabaran ekonomi yang praktikal.

Penjimatan melalui pengudaraan semula jadi.

Rekabentuk bangunan yang menerapkan bukaan tingkap tertentu pada dinding akan membolehkan pengaliran udara semula jadi bagi mewujudkan penyejukan dalaman. Amalan ini dapat dilihat pada rekabentuk rumah-rumah melayu. Bukaan pada bumbung dan rekabentuk telaga udara atau ‘court-yard’ juga berupaya mewujudkan suasana dalam bangunan menjadi selesa.

REKABENTUK BANGUNAN YANG MENJIMATKAN TENAGA

Penggunaan kaca atau dinding yang terdedah dengan pancaran matahari langsug menjadi faktor menaikkan suhu dalaman bangunan. Sepatutnya rekabentuk peneduhan untuk bukaan seperti tingkap dan dinding cermin, akan berupaya mengurangkan pengaliran haba ke dalam bangunan.

Terdapat sebilangan arkitek yang tidak peka terhadap keperluan tersebut, sebagai langkah mengatasi ketidak selesaan kediaman, lazimnya pemilik kediaman akan memasang peneduhan tambahan yang mana kesannya sering mencacatkan pandangan.

Satu ciri penting dalam rekabentuk yang berteraskan iklim tropika ialah bangunan harus mempunyai orientasi Timor-Barat bagi menghalang pancaran matahari perintensiti tinggi memancar terus ke bahagian dinding yang luas. Sebaliknya orientasi Utara-Selatan lebih menibulkan masalah kerana menyebabkan peningkatan suhu dalaman bangunan yang boleh menyebabkan ketidak selesaan oleh penghuni bangunan.

ORIENTASI UTARA-SELATAN MENYEBABKAN KEPANASAN YANG TINGGI DALAM BANGUNAN

Penanaman pokok-pokok dan lanskap disekitar bangunan juga boleh mewujudkan perekitaran yang redup dan penurunan suhu persekitaran yang signifikan. Dengan pengurangan suhu persekitaran ia membantu mewujudkan iklim-mikro yang lebih nyaman dan sejuk. Ini secara langsung akan membantu mengawal penyejukan dalaman bangunan.

Dari segi pencahayaan yang juga perkara penting untuk mewujudkan persekitaran dalam bangunan yang baik, kita memerlukan pencahayaan yang sesuai bagi melakukan kerja di dalam bangunan. Rekabentuk yang baik pada bukaan tingkap akan mengizinkan pencahayaan asli di bawa ke dalam bangunan dan pengurangan dalam penggunaan cahaya elektrik.

Beberapa pendekatan yang dijelaskan di atas jika dilaksanakan akan berupaya menggurangkan pembelian tenaga elektrik bagi maksud mendinginkan persekitaran dalaman bangunan dan pencahayaan. Dengan secara langsung kita akan menjimatkan kos utiliti dan mengurangkan memelihara alam sekitar melalui pengurangan pebakaran tenaga fosil bagi menghasilkan elektrik yang kita beli.

No comments:

Post a Comment